Visi & Misi | |
Fungsi NCCC | |
Proses Pengendalian Aduan | |
Carta Organisasi |
Kesilapan manusia punca alam merana |
Written by Administrator |
Monday, 14 September 2009 14:13 |
BARU-BARU ini negara kita 'dikunjungi' 50 ekor penyu karah di pesisir pantai Kedah. Spesies penyu jenis itu lazimnya hanya boleh didapati di Indonesia, Filipina dan Australia. Peristiwa ini menggemparkan penduduk setempat sehingga mencetuskan tanda tanya berkaitan punca kehadirannya di Malaysia. Lebih menyedihkan apabila kumpulan penyu itu cedera. Penyu karah tercedera bukan kerana perubahan alam secara semula jadi, tetapi disebabkan terdampar di kawasan pantai yang dipenuhi sampah-sarap dan kayu-kayan. Sikap tidak prihatin manusia terhadap kebersihan alam sekitar menyebabkan penyu karah menjadi mangsa. Peristiwa ini mengingatkan saya kepada pengalaman menyusuri sungai di kawasan hutan bakau di bahagian utara Semenanjung. Pada awal perjalanan, mata saya disajikan dengan plastik dan sampah-sarap yang tersangkut di celah akar pokok bakau. Keadaan ini sememangnya mencacatkan pemandangan indah di hutan bakau. Ia membuatkan saya tertanya-tanya siapa yang gemar mengambil jalan mudah sehingga sanggup menjadikan sungai sebagai tong sampah? Adakah sistem pembuangan sampah di Malaysia sudah kritikal sehingga kita sanggup membuang sampah di kawasan hutan bakau? Individu yang membuang sampah di kawasan ini tidak pernah memikirkan kesan yang bakal berlaku. Sampah-sarap yang dibuang bukan saja mencacatkan pemandangan malah boleh mengganggu ekosistem hutan bakau. Populasi ikan dan udang akan menurun jika tempat pembiakan mereka dicemari. Jika bahan buangan yang bahaya dibuang, hidupan akuatik pasti tidak mampu menerima perubahan itu. Pencemaran sistem akuatik telah menyebabkan masalah kepupusan ikan. Dianggarkan 30 spesies ikan di perairan negara hampir pupus atau telah pupus. Antaranya, kurau, bagok, terubok, kekek, yu, parang dan beberapa jenis pari. Penurunan jumlah ikan telah menjejaskan pendapatan nelayan. Hasil pendapatan mereka menurun 50 hingga 70 peratus berbanding tangkapan pada 1970-an. Persoalannya, bila kita mahu menghentikan tabiat buruk ini? Adakah kita mahu menunggu selepas haiwan mengalami kecacatan barulah kita mahu menghentikan aktiviti yang tidak bermoral ini? Atau kita mahu insaf selepas anak-anak kita sendiri mengalami kecacatan akibat pencemaran alam? Tegasnya, kita harus sedar bahawa sikap kita yang suka mengambil jalan mudah boleh mendatangkan masalah kepada alam dan diri sendiri. Penulis adalah pelajar Sarjana Kewartawanan Sains Alam Sekitar, Universiti Sains Malaysia (USM). Berita Harian : 24 October 2007
|