Wednesday, 13 Nov 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Berita Harian : Minda Pengarang: Rakyat mesti bantu kawal harga barang
Berita Harian : Minda Pengarang: Rakyat mesti bantu kawal harga barang PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 16:53
HARGA dan bekalan barang makanan utama seperti beras, tepung gandum, gula dan minyak masak menjadi isu sehingga satu ketika bagaikan berlaku krisis bekalan gara-gara langkah peniaga yang sengaja menyimpan stok dengan niat mahu menaikkan harga. Memang di mana-mana negara yang membuka ekonominya, sejajar keperluan globalisasi, menghadapi tekanan apabila berlaku kenaikan harga minyak antarabangsa. Keadaan ini secara langsung meningkatkan tekanan harga terhadap harga barang keperluan di pasaran tempatan, berikutan peningkatan kadar inflasi yang meliputi empat perkara iaitu barang makanan, tenaga, pengangkutan dan sewa.
 
Soal harga adalah juga berkaitan dengan bekalan dan pengedaran serta kos input. Oleh itu, isu inflasi perlu diteliti secara komprehensif dan strategi mengawalnya juga perlu menyeluruh dan meliputi aspek berkenaan. Berdasarkan hakikat ini, Kabinet pada 9 Januari lalu meluluskan penubuhan Majlis Harga Negara (MHN), yang dipengerusikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tanggungjawab MHN antara lain untuk memantau, menasihati dan menyelia dasar harga, struktur pasaran kompetitif, kecekapan dalam skim subsidi serta pencegahan terhadap ketidakadilan bagi pihak kerajaan.

Majlis ini juga akan bertanggungjawab membendung pakatan sulit perdagangan yang menjejaskan bekalan dan harga barang keperluan serta perkhidmatan dengan memperluaskan bidang tugas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Barang-Barang Perlu. Dengan itu, kewujudan MHN adalah bagi memastikan harga barang keperluan dan kenaikannya sentiasa dibuat mengikut garis panduan kerajaan serta mengatasi masalah kekurangan bekalan secara lebih berkesan.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan tiga inisiatif bagi menjamin kestabilan harga, kecekapan sistem bekalan dan pengedaran barang pengguna, selaras penubuhan MHN itu. Inisiatif itu ialah mewujudkan Pusat Panggilan Kebangsaan, Stok Simpanan Kebangsaan dan Kumpulan Pakar bagi meneliti isu serta dasar berkaitan pengedaran, pengeluaran dan mekanisme penentuan harga. Pusat panggilan yang beroperasi 24 jam itu akan membolehkan pengguna membuat aduan berhubung masalah bekalan atau harga pelbagai barang keperluan supaya tindakan segera boleh diambil termasuk oleh unit penguat kuasa. Semua maklumat dan aduan yang diterima pusat panggilan itu disalurkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau kementerian lain yang berkaitan untuk tindakan susulan.

Semua langkah yang dilakukan itu diharap boleh mengawal kenaikan harga barang keperluan dalam keadaan tekanan harga minyak sedunia selain menutup peluang pihak ketiga mengaut keuntungan dengan mengeksploit keadaan. Malah, kewujudan stok simpanan akan memastikan bekalan barang sentiasa cukup dan harganya stabil. Langkah itu tepat pada masanya bagi menangani tekanan inflasi. Malah, negara kita tidak mungkin mencatatkan kadar inflasi sekitar dua peratus bagi Januari-November tahun lalu jika kerajaan tidak mengambil langkah proaktif dari semasa ke semasa berhubung pengurusan ekonomi negara. Langkah terbaru kerajaan mewujudkan MHN dan mengumumkan tiga inisiatif itu, sebenarnya kesinambungan kepada usaha komprehensif dan berorientasikan tindakan dalam mengawal harga barang dan memastikan bekalan mencukupi. Selepas ini, kita berharap penguatkuasaan terhadap tindak-tanduk peniaga dan kegiatan penyeludupan barang kawalan dipertingkatkan lagi bagi memastikan langkah itu memanfaat semua pihak.

 

Berita Harian : Rencana, 25 Januari 2008 

<br>